Anak Pegawai Kanan Polis Bukit Aman Didakwa Lacurkan Tiga Siswi

Empat beradik lelaki yang merupakan anak pegawai kanan polis Bukit Aman masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga penuntut universiti tempatan bagi tujuan eksploitasi seks, Ogos lalu.

Mohd. Syibri Mazlan, 29, serta adik-adiknya Muhamad Suhail, 26; Muhamad Syahiran, 25, dan Muhamad Syahfiz, 24, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama memperdagangkan wanita berusia 18, 19 dan 20 tahun bagi maksud eksploitasi seks di D'Village Resort Melaka, di sini pada pukul 10.45 malam, 26 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda.

Mohd. Syibri, Muhamad Syahiran dan Muhamad Syahfiz turut membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu didakwa hidup daripada hasil persundalan remaja berusia 18, 19 dan 20 tahun itu pada masa, tarikh dan tempat sama.

Tidak ada komentar