Badminton: Malaysia Tewaskan Thailand 3-1, Mara Ke Final Remaja Dunia

Malaysia berjaya mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia bagi acara berpasukan campuran apabila mengalahkan Thailand 3-1 dalam aksi separuh akhir di Bilbao, Sepanyol sebentar tadi.

Bagaimanapun, Thailand terlebih dulu meraih mata apabila berjaya memenangi perlawanan beregu campuran selepas pasangan negara, Ooi Zi Heng-Pearly Koong tumpas 22-20, 20-22, 12-21 kepada Pakin Kuna Anuvit-Laisuan Ruethaichanok.

Kedudukan terikat 1-1 apabila perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menumpaskan Kanthapon Wangcharoen 21-18, 21-13.

Malaysia berjaya mendahului 2-1 selepas jaguh perseorangan wanita negara yang juga penyandang juara remaja dunia, Goh Jin Wei berjaya mengalahkan Pornpawee Chochuwong 21-12, 21-15.

Pasangan beregu lelaki negara, Chen Tang Jie-Man Wei Chong muncul wira apabila menghadiahkan mata kemenangan selepas mengalahkan Panachai Worasaktayanan-Warit Sarapat 21-18, 21-12.

Menanti Malaysia di perlawanan akhir (9 malam ini waktu Malaysia) ialah juara bertahan, China yang mengalahkan Jepun 3-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia muncul juara acara berpasukan campuran di Kejohanan Remaja Dunia pada 2011 dan meraih tempat kedua pada 2009.

Tidak ada komentar