Lelaki Dera Anak, Bekas Isteri Dipenjara 5 Bulan

Polis mengesahkan lelaki yang didakwa mencederakan anaknya di Jalan Bunga Orkid, Majidee Baru baru-baru ini, bukan saja sudah ditahan malah dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita mendakwa anak lelakinya berusia tiga tahun dicederakan bekas suaminya.

"Kita menerima laporan polis pada jam 8.41 malam, 28 Oktober lalu dan pada peringkat awal, kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

"Kira-kira jam 1 tengah hari, 31 Oktober lalu, kita menahan suspek iaitu bekas suami wanita berkenaan yang berusia 37 tahun," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu kemudian dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan pada 2 November lalu.

"Pada 3 November, lelaki itu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak," katanya.

Sulaiman berkata, lelaki itu mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh mahkamah.

Sejak kelmarin, viral di laman sosial Facebook dan beberapa blog mengenai seorang wanita yang menggunakan nama Hannah Azzara mendakwa anaknya dicederakan bekas suaminya.

Wanita itu dalam statusnya di Facebook pada 6 November, mendakwa laporan polis yang dibuatnya seperti tidak diendahkan polis.

Diminta mengulas mengenai dakwaan wanita itu, Sulaiman berkata, pihak yang membuat laporan polis sepatutnya membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan di laman sosial kerana bimbang ia bercanggah dengan fakta sebenar.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah menyebarkan berita yang tidak sahih," katanya.

Tidak ada komentar