Pemenang Emas Paralimpik Rio Bakal Tamatkan Zaman Bujang

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Muhammad Ziyad Zolkefli bakal menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihannya Zafirah Nasir pada 11 November ini.

Muhammad Ziyad, 26, berkata mereka berkenalan ketika menuntut di sebuah kolej swasta dan beliau tidak menyangka perkenalan singkat itu akan berakhir ke jinjang pelamin tidak lama lagi.

Menurutnya, beliau hanya sempat belajar empat bulan sahaja dan tidak meneruskan pengajiannya di kolej itu kerana mendapat tawaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjadi atlet sepenuh masa.

"Perkenalan saya dan Zafirah singkat sahaja selepas itu saya mencarinya di Facebook dan kami mula berkawan sehingga sekarang.

"Saya bersyukur, tahun ini terbaik buat saya dengan pencapaian pingat emas Paralimpik dan perkahwinan saya. Kami bertunang pada 15 November tahun lalu. Beliau sangat memahami diri saya," kata juara acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dengan rekod baharu dunia itu.

Majlis pernikahan mereka bakal dilangsungkan di rumah keluarga Zafirah di Nilai, Negeri Sembilan Jumaat ini dan diikuti majlis persandingan yang diadakan di Putrajaya pada keesokannya manakala majlis di pihak Muhammad Ziyad pula akan diadakan pada 20 November di Kuala Lumpur.

Bagi Zafirah pula, beliau telah mengenali Muhammad Ziyad sebelum menjadi atlet lagi dan menyenangi keperibadian tunangnya itu yang menghormati orang tua dan penyayang.

"Ziyad merupakan seorang yang peramah. Dia tidak sambung pengajiannya kerana mahu menjadi atlet. Saya hanya menyedari beliau seorang atlet paralimpik pada 2014.

"Ibu bapa saya memberitahu saya tentang perkara itu dan kami sekeluarga tidak ada masalah menerimanya dalam keluarga kami," kata Zafirah, 26.

Zafirah yakin Muhammad Ziyad mampu menjaganya dengan baik dan menjadi suami yang bertanggungjawab walaupun sibuk dengan latihan dan pertandingan.

"Bapa Ziyad pernah memberitahu saya Ziyad adalah seorang yang rajin sejak di sekolah menengah lagi. Beliau rajin bekerja, mencari duit sendiri dan tidak menyusahkan keluarga. Saya yakin beliau mampu menjaga saya," katanya.

Tidak ada komentar