Video TMJ 'Tembak' Baju Merah Kelakar - Jamal

Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos ‎lahirkan perasaan gembira dan berbesar hati dengan respons Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ‎berkenaan 'kumpulan baju merah'.

Mengulas mengenai video parodi Tunku Ismail yang 'menembak' tujuh orang 'ahli' baju merah, Jamal berkata, respons segera Tunku itu menunjukkan baginda prihatin dengan kumpulan mereka.

‎"Saya mengucapkan terima kasih kepada TMJ, dan bagi saya ianya adalah satu respons yang kelakar dan saya suka dengan perkara itu.

"Bagi saya apa yang dilakukan itu menarik perhatian TMJ...bukan senang seorang raja untuk memberi respons, apa pun yang kami buat ketika demonstrasi tersebut berjaya bagi pihak kami bukan sahaja ‎rakyat biasa malah raja-raja melihat apa yang kami lakukan,"katanya kepada Sinar Online.

‎Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai paparan ‎video parodi yang disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers yang menggambarkan tujuh lelaki bertopeng meniru aksi seni mempertahankan diri oleh pergerakan baju merah dalam protes mereka di Petaling Jaya.

‎Klip video itu berakhir dengan Tunku Ismail 'menembak' tujuh lelaki berkenaan dengan menggunakan sepucuk pistol.

Dalam pada itu, dipaparkan juga mesej di Facebook itu yang berbunyi: "Senjata tidak membunuh manusia, manusia yang saling membunuh antara satu sama lain. Keganasan dan kebencian tidak akan menjadikan negara ini tempat yang lebih baik. Kekal positif. Salam penuh kasih sayang,".

‎Ujar Jamal lagi, dalam video itu dinyatakan juga TMJ tidak memihak kepada baju merah mahupun baju kuning.

"Baginda mahukan keamanan begitu juga dengan kami, kalau kuning tiada, merah pun tiada, ini janji kami,"katanya.

Tidak ada komentar