Penyambut Tetamu Dipenjara 13 Tahun Rogol Pelancong Australia

Perbuatan seorang penyambut tetamu sebuah hotel lima bintang yang membuat kunci pendua bilik hotel dan merogol pelancong Australia membawa padah apabila dia dihukum penjara 13 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Datin M Kunasundary menjatuhkan hukuman itu terhadap Roaquin Radzmund Muhammed Reduan, 27, yang kini tidak bekerja selepas dia didapati bersalah merogol wanita berusia 27 tahun itu, dua tahun lalu.

Kunasundary berkata, mahkamah mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah kesalahan serius dan keji.

"Rogol itu sendiri serius dan keji. Lebih keji lagi apabila (rogol) dilakukan tertuduh yang mempunyai tanggungjawab dan amanah yang berat (sebagai penyambut tamu). Sesiapa yang melakukan kesalahan rogol akan menerima padahnya.

"Hukuman yang dikenakan ini supaya tertuduh tidak sesuka hati terbawa oleh nafsu liar yang mendatangkan kesan mental dan fizikal kepada mangsa," kata hakim.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap pada 22 September tahun ini.

Pada 2 Disember 2015, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Roaquin Radzmund daripada pertuduhan merogol pengurus sebuah restoran makanan segera itu.

Bagaimanapun tahun ini, Mahkamah Tinggi memerintahkannya membela diri bagi pertuduhan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya.

Roaquin Radzmund yang ketika itu berusia 25 tahun, didakwa melakukan kesalahan berkenaan dalam bilik bernombor 1007, sebuah hotel di Jalan Imbi, di sini, pada 5 pagi, 19 Oktober 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira beberapa faktor, terutama tertuduh mengambil kesempatan sebagai pekerja dan merogol mangsa yang menginap di hotel itu.

“Ia hotel lima bintang, tertuduh ambil kesempatan dengan membuat kunci pendua untuk masuk ke dalam bilik dan merogol mangsa. Tertuduh mengambil kesempatan pecah amanah tugas sebagai pekerja," katanya.

Liyana Zawani juga berkata, tindakan tertuduh mencemarkan imej Malaysia dan menyebabkan pelancong cenderung berasa tidak selamat.

Tidak ada komentar