Mayat Remaja Dikerat 10 Ditemui Dalam Kalbat

Mayat seorang lelaki yang dikerat beberapa bahagian dan dibungkus ke dalam lima plastik kemudian disorok di dalam kalbat parkir di sebuah rumah di Kampung Kesang Laut, Tangkak ditemui petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, tuan rumah berkenaan yang terkejut menemui pergelangan kaki manusia di pekarangan rumahnya terus menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri, berkata sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian selepas dihubungi tuan rumah berkenaan.

"Hasil siasatan awal, polis menemui lima plastik yang dimasukkan ke dalam kalbat parkir rumah berkenaan yang mengandungi beberapa bahagian anggota badan manusia.

"Polis juga menemui kepala mangsa yang ditanam di kawasan berhampiran rumah itu.

"Kami percaya mangsa, seorang lelaki berusia di bawah 20 tahun yang dibunuh di tempat lain dan berdasarkan keadaan anggota badan, mungkin kejadian berlaku lebih tiga hari lalu," katanya.

Beliau berkata, kurang sejam selepas menerima laporan itu polis menahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tidak ada komentar