Pasangan Tak Jadi Cerai Selepas Menonton Drama Suri Hati Mr Pilot

Meremang bulu roma pelakon, pengacara dan ahli perniagaan, Neelofa apabila dimaklumkan rumah tangga sepasang suami isteri yang berantakan dapat diselamatkan impak daripada drama bersiri lakonannya dengan Fattah Amin, Suri Hati Mr Pilot.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 29 itu tidak menyangka fenomena drama arahan Michael Ang dan Hadith Omar itu mampu memulihkan hubungan yang sudah seperti retak menunggu belah disebabkan pengaruh karakter Warda dan Ejaz.

"Jujur saya terharu apabila dimaklumkan elemen positif yang dipaparkan mampu menyebarkan mesej kepada ramai. Saya fikir penonton sekadar minat sebaliknya ia meninggalkan kesan mendalam termasuk terhadap pasangan yang berdepan masalah rumah tangga seperti diceritakan kawan saya itu.

"Kebetulan kawan saya mengenali pasangan berkenaan. Suami wanita itu ada berpesan mahu mendapatkan poster yang mempunyai tanda tangan saya selepas isterinya bersalin nanti," kongsi pengasas tudung Naelofar itu kepada BH Online.

Ceritanya lagi, pasangan berkenaan menghadapi kemelut sejak awal tahun tetapi masih sebumbung disebabkan zuriat di dalam kandungan si isteri dan mereka sedari episod pertama memang tidak terlepas drama terbabit.

"Saya difahamkan setiap malam mereka mengikuti turun-naik hubungan Ejaz dan Warda dalam mengharungi kehidupan berumah tangga, namun akhirnya kebahagiaan melatari karakter berkenaan selepas masing-masing meninggalkan ego dan bertolak ansur.

"Watak Ejaz dan Warda sendiri memaparkan saat mereka bergaduh dan masing-masing ada ego sendiri. Tetapi dua watak itu cuba bertolak ansur dalam setiap masalah atau rintangan yang dilalui. Kawan saya beritahu banyak babak yang ditonton menerusi drama itu terus membuatkan mereka mahu hidup bersama.

"Begitu juga dengan watak Muslim dan Umaira yang sudah bercerai talak satu tetapi rujuk semula. Jelas drama ini sarat nilai hingga mampu mencetuskan perubahan kepada mereka yang berada di alam realiti," ulasnya.

Sementara itu, beliau juga teruja apabila Suri Hati Mr Pilot terus menjadi fenomena selaku fokus perbualan penonton terutama di laman sosial walaupun ia sudah melabuhkan tirainya awal bulan ini.

Lebih mengharukan hati sebaik dikhabarkan drama berantai terbabit diikuti semua kelompok masyarakat termasuk golongan muda-mudi urban yang selama ini cenderung terhadap penerbitan luar negara, selain sosialit atasan.

Tidak ada komentar